KUALA LUMPUR: Hasrat peminat dunia menyaksikan pertembungan dua jaguh Asia, Lee Zii Jia dan Kento Momota pada Kejohanan Korea Masters 2023 di Gwangju yang bermula esok, nampaknya tidak kesampaian.
Zii Jia menerusi pesanan di Instagram hari ini mengesahkan menarik diri daripada kejohanan Super 300 itu.
Pada pusingan pertama, perseorangan negara itu dijadual menentang Momota yang juga bekas juara dunia dua kali, di Stadium Universiti Wanita Gwangju.
Selepas berunding dengan doktor dan pakar fizikal, Team LZJ memutuskan untuk menarik diri dan keputusan itu dilihat baik bagi pemain nombor 11 dunia itu mengambil sedikit masa lagi untuk pulih sepenuhnya, sebelum kembali ke gelanggang.
“Tiada apa-apa yang serius untuk dibimbangkan, terima kasih atas segala ucapan selamat, dan nanti kita jumpa lagi,” kata Zii Jia.
Antara pemain ternama dunia yang akan menyertai Masters Korea yang menawarkan hadiah berjumlah USD210,000 ialah pemain utama Taiwan, Chou Tien Chen.
Ketiadaan Zii Jia menyaksikan harapan perseorangan negara sekali lagi disandarkan kepada Ng Tze Yong.