comscore
Tumpuan :
Sukan

Lee Zii Jia diberi tempoh dua minggu

KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia diberi tempoh sehingga 14 November ini untuk menandatangani kontrak perjanjian persetujuan komitmen baharu (LOC) untuk terus berada dalam program Road To Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hari ini mengesahkan Zii Jia sebagai satu-satunya atlet dalam RTG yang belum menandatangani perjanjian itu.

Menurutnya, LOC adalah keperluan sebagai pertukaran kepada faedah dan perkhidmatan disediakan untuk atlet di bawah program elit, ke arah memburu emas pertama negara di Sukan Olimpik.

“Saya amat menghargai jika Zii Jia meletakkan perkara ini sebagai keutamaan untuk menandatangani LOC secepat mungkin iaitu tempoh dua minggu akan datang, kerana semua atlet termasuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Datuk Pandelela Rinong telah melakukannya.

“Kita komited untuk membantu mereka tapi mereka mesti mempunyai komitmen untuk menyumbang kepada kerajaan. LOC itu mengatakan bahawa mereka bersetuju untuk dimasukkan ke dalam RTG, jadi mereka perlu memainkan peranan dalam mengemas kini, bekerjasama dan kerap bertemu penyelaras,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG di sini, hari ini.

Sementara itu, penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, jawatankuasa itu telah berhubung dengan pasukan Zii Jia melalui pelbagai saluran, tetapi pemain itu dikatakan sibuk dengan latihan dan pertandingan.

“Kita akan terus berhubung untuk memastikan Zii Jia memahami bahawa perjanjian komitmen ini perlu dan sangat penting. Beliau sangat sibuk dan belum ada kesempatan berjumpa dengannya.

“Kita harap beliau kembali ke Malaysia selepas pertandingan, dan meluangkan masa untuk RTG berbincang mengenai keperluannya. Dua minggu disediakan oleh jawatankuasa, kami percaya beliau akan berhubung dengan kita,” katanya.

Stuart berkata, pemain profesional negara itu diberikan perkhidmatan sains sukan sebanyak dua kali di bawah program walaupun belum menandatangani LOC, bagaimanapun pembiayaan dan elaun tambahan tidak diberikan sehingga beliau menandatangani perjanjian berkenaan.

Menurut Stuart, kira-kira 50 peratus daripada RM5 juta yang diperuntukkan kepada RTG telah dibelanjakan setakat ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini