comscore
Tumpuan :
Sukan

Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao berentap pada suku akhir Terbuka Arctic

FOTO: Persatuan Badminton Malaysia / Facebook

PETALING JAYA: Satu tempat ke separuh akhir perseorangan lelaki Badminton Terbuka Arctic, sah milik Malaysia apabila dua pemain negara bertembung sesama sendiri pada suku akhir esok.

Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao bagaikan berkongsi pengalaman sama, terpaksa berhempas pulas sebelum mengatasi lawan masing-masing pada pusingan kedua di Vantaa Energia Arena, Finland sebentar tadi.

Zii Jia mara ke suku akhir selepas mengalahkan pemain Indonesia Chico Aura Dwi Wardoyo pada aksi tiga set.

Set pertama, Zii Jia yang berada di ranking ke-16 dunia disaing hebat Chico sebelum menang 21-17.

FOTO: Persatuan Badminton Malaysia / Facebook

Set kedua, Chico yang mendudukki ranking ke-19 dunia bangkit dan memaksa Zii  Jia pula tunduk 18-21.

Begitupun Zii Jia tidak memberi ruang lagi buat Chico pada set penentuan.

Zia Jia memastikan tempat ke suku akhir menang 21-11 menamatkan perlawanan yang memakan masa sejam itu.

Terdahulu Jun Hao dipaksa juga bermandi peluh sebelum menewaskan pemain Perancis, Arnaud Merkle.

Tewas 15-21 pada set pertama, Jun Hao pemain ranking ke-44 dunia, bangkit pada set kedua 21-17.

Saingan kedua-dua pemain yang mara ke undian utama selepas melalui pusingan kelayakan ini, berterusan pada set penentuan.

Selepas pertarungan berlanjutan 1 jam 15 minit, Jun Hao memastikan tiket ke suku akhir dengan menamatkan cabaran Merkle, pemain ranking ranking ke-67 dengan kemenangan 21-19 pada set penentuan.

Loading...
Terkini