
PETALING JAYA: Lee Zii Jia sekali lagi memperlihatkan aksi tidak konsistennya apabila tersingkir awal, kali ini pada Kejohanan Badminton Masters Jepun.
Zii Jia tewas kepada pemain Denmark, Anders Antonsen pada pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto sebentar tadi.
Tewas 18-21 pada set pertama, Zii Jia berpeluang untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila mendahului 20-17 pada set kedua.
Namun Antonsen yang berada di tangga ke-10 dunia, cuma berbeza satu tangga dengan Zii Jia (ke-11), berjaya mengikat kedudukan 20-20, sebelum mencuri dua lagi mata untuk menamatkan permainan 22-20. pada pertarungan yang memakan masa 54 minit itu.
Pusingan kedua esok, Antonsen akan berdepan pemain tuan rumah, Kodai Naraoko, juga pilihan ke-3 kejohanan.
Tersingkirnya Zii Jia meninggalkan Ng Tze Yong wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan.
Tze Yong meniti halangan sukar pada pusingan pertama esok, menentang pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.