comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Lee Jii Zia, Goh Jin Wei terkandas seawal pusingan pertama

FOTO: Badminton Association of Malaysia/Facebook

CHANGZHOU, CHINA: Nasib serupa menimpa dua perseorangan negara Lee Jii Zia dan Goh Jin Wei apabila terkandas seawal pusingan pertama Badminton Terbuka China.

Lee Jii Zia  tumpas kepada pilihan ke-4, Kodai Naraoka dari Jepun pada perlawanan sengit yang berlarutan 1 jam 15 minit.

Tewas 24-26 pada aksi yang cukup rancak pada set pertama, Jii Zia menampilkan gaya lebih kemas apabila bangkit memenangi set kedua 21-12.

Namun Jii Zia yang menduduki ranking ke-14 dunia, gagal meneruskan momentumnya apabila tewas mudah pada set penentuan.

Sebaliknya Naraoka pemain nombor tiga dunia menguasai pertarungan untuk memastikan tempat ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-11.

FOTO: Badminton Association of Malaysia/Facebook

Terdahulu, perseorangan wanita Goh Jin Wei yang turut beraksi di gelanggang dua, juga tewas kepada lawan dari Jepun, Aya Ohori

Set pertama tampak seimbang apabila Jin Wei yang mara daripada pusingan kelayakan memberi tentangan hebat sebelum tewas 18-21.

Begitupun kebangkitan yang diharapkan mampi dijelmakan Jin Wei pada set kedua tidak menjadi kenyataan dengan aksi lebih tangkas Ohori.

Ohori mudah menamatkan set kedua 21-12 pada perlawanan yang berlarutan cuma 38 minit.

FOTO: Badminton Association of Malaysia/Facebook

Kekecewaan pasukan negara dengan penyingkiran awal dua perseorangan, bagaimanapun diceriakan dengan kejayaan beregu campuran Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang mara ke pusingan kedua.

Mereka yang lebih dahulu beraksi bagi perlawanan di gelanggang dua, menewaskan gandingan India, Rohan Kapoor dan Reddy Sikki 21-15, 21-16.

Tugas lebih rumit menanti Tan Jie dan Ee Wei yang bakal menentang pilihan ke-6 dari Korea Selatan, Kim Wan Ho dan Jeong Na Eun.

Wan Ho dan Na Eun melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu Jepun, Yuki Kaneko dan Misaki Matsutomo, 21-17, 21-19

Loading...
Terkini