KUALA LUMPUR: Ledakan jaringan oleh Safawi Rasid ketika menyumbang gol ketiga negara dalam pertembungan dengan Kepulauan Solomon mendapat perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Melalui akaun Twitter FIFA, badan induk bola sepak dunia itu berkongsi jaringan pemain kebangsaan itu sambil mengagumi kemahiran yang dipamerkan Safawi sebelum mencipta jaringan.
“Kemahiran yang mengagumkan daripada pemain Malaysia, Safawi Rasid,” kata FIFA.Safawi menjaringkan gol pada minit ke-77 selepas dimasukkan pada babak kedua ketika Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon membenam Kepulauan Solomon 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 14 Jun lalu.
Gol itu mencuri tumpuan ramai apabila Safawi mengawal kemas hantaran Lee Tuck dari sebelah kanan, mengatasi dua pertahanan lawan sebelum mengakhirinya dengan rembatan deras kaki kiri ketika bola belum jatuh ke tanah.
Malah, FIFA juga beranggapan jaringan itu ‘layak’ untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas FIFA bersama beberapa lagi jaringan yang turut dikongsi badan induk itu menerusi Twitternya.
“Kita sudah melihat beberapa pencabar bagi Anugerah Puskas pada bulan Jun,” katanya.
Antara jaringan lain yang turut menarik perhatian FIFA adalah jaringan lipat pemain Botafogo, Guilherme Madruga, rembatan voli pemain Cincinnati FC, Alvaro Barreal dan percubaan jarak jauh Lucas Zelarayan yang menerjah jaring bersama Columbus Crew.
Pemain wanita juga tidak ketinggalan menerusi gerakan solo pemain Amerika Syarikat, Sophia Smith ketika beraksi bersama pasukannya, Portland Thorns FC.