comscore
Tumpuan :
Sukan

Leclerc juara GP AS selepas drama Norris-Verstappen

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc menjulang trofi kejuaraan di podium selepas memenangi perlumbaan Grand Prix AS di Litar Americas, Austin, Texas pagi tadi. – Foto: Reuters

AUSTIN, Texas: Charles Leclerc memenangi perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat (AS) dengan Ferrari melakar penamat 1-2 bersama Carlos Sainz pagi tadi ketika pendahulu kejuaraan Formula Satu Max Verstappen mencetus tamparan buat Lando Norris dalam perebutan kejuaraan antara mereka.

Perlumbaan di Litar Americas, Austin menyaksikan pertembungan menarik pada hujung saingan antara pencabar kejuaraan berakhir dengan kontroversi apabila pemandu McLaren, Norris memintas lawannya untuk menduduki tangga ketiga tetapi kemudian dikenakan penalti lima saat.

Penamat podium Verstappen menyaksikannya mendahului 57 mata di depan Norris dengan berbaki lima pusingan.

Norris memintas Verstappen empat pusingan sebelum tamat, selepas mengejar pemandu Belanda itu dengan menggunakan tayar baharu, tetapi dihukum kerana keluar dari litar dan meraih kelebihan.

Insiden itu dan reaksi steward ternyata menjadi bahan bualan utama.

Pertembungan sengit antara pemandu McLaren, Lando Norris (kanan) dan Max Verstappen dari Red Bull pada perlumbaan Grand Prix AS di Litar Americas, Austin, Texas pagi tadi. – Foto: Reuters

“Ia pembunuh momentum. Namun kami hadir ke sini dengan fikiran terbuka, tidak mengharapkan untuk mendominasi atau sekadar menang atau apa-apa,” kata Norris, yang bermula di petak utama.

“Satu-satunya pemandu yang saya harus kalahkan adalah Max dan dialah pemandu yang tidak saya atasi hari ini. Ia satu hujung minggu yang tidak berjaya, semuanya. Tetapi kami memberikan satu cabaran bermakna. Saya sudah mencuba,” katanya.

“Ia tidak cukup bagus dan kami ada kerja untuk dilakukan dan saya mempunyai kerja untuk dilakukan sendiri.”

Kemenangan Leclerc, ketiga buatnya musim ini selepas Monaco dan Monza, menamatkan catatan tiga kemenangan berturut-turut Verstappen pada Grand Prix AS di Litar Americas dan menyaksikan Ferrari ketinggalan hanya lapan mata di belakang Red Bull.

McLaren kekal mendahului kejuaraan pengeluar, mereka kini berkelebihan 40 mata.

“Penamat satu dua buat pasukan. Kami tidak mampu bermimpi yang lebih baik lagi,” kata Leclerc.

“Kami melakukan satu tugas hebat. Kelajuan kereta amat bagus. Terima kasih kepada jurutera. Mereka bekerja seperti orang gila untuk meneruskan penambahbaikan yang kami ada di Singapura dan beberapa perlumbaan terakhir. Ia kelihatan berbaloi.”

Sekalipun Verstappen menang perlumbaan pecut 100km semalam dari petak utama, meraih lapan mata maksimum, kekalahannya bermakna dia gagal menang dalam sembilan perlumbaan Grand Prix sejak Sepanyol pada Jun lalu.

Ia bagaimanapun bukan menjadi masalah buatnya ketika tumpuan utama pertarungan dengan Norris.

“Ia satu perlumbaan sukar. Saya mencuba segala-galanya untuk mempertahankan kedudukan. Ia menarik tetapi agak pelik apabila anda boleh memotong di luar litar,” kata Verstappen menerusi radio pasukan. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini