![Foto: Hasriyasyah Sabudin / NSTP](https://media.buletintv3.my/2023/06/Hasriyasyah-Sabudin.jpg)
KUALA LUMPUR: Lebih 400 pelumba termasuk 50 atlet para dijadual menyertai Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional Nilai dari 14 hingga 19 Jun ini.
Selain Malaysia selaku tuan rumah, China dan Jepun dijangka menghantar penyertaan paling ramai.
Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata ACC yang menjadi pentas kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 ini turut akan disertai Korea Selatan, Iran dan Kazakhstan.
“Cuma saya agak terperanjat dengan penyertaan Laos. Rasanya belum pernah Laos menyertai kejohanan trek yang dianjurkan di Kuala Lumpur.”
Katanya, ini satu perkembangan yang sangat positif kepada sukan berbasikal trek.
“Saya bersedia membantu Laos sekiranya negara berkenaan berdepan dengan sebarang masalah sepanjang pelumba mereka berada di Bandar Baru Nilai,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), hari ini.
Lebih 30 negara sudah mengesahkan penyertaan setakat ini.
Daripada jumlah itu, India, Indonesia, Jepun, Thailand, Uzbekistan, Iran, China dan Malaysia turut menghantar pelumba trek para yang turut dianjurkan berselang seli dengan acara pelumba trek.
Datuk Abu Samah yang juga Presiden PKBM percaya akan ada negara lain termasuk Nepal, Pakistan dan Myanmar yang bercadang untuk menampilkan pelumba mereka pada kejohanan bertaraf antarabangsa itu.
“Sebenarnya masih ada negara yang berura-ura untuk menyertai ACC 2023. Penyertaan masih terbuka dan kita berharap akan ada lagi negara yang akan menghantar borang penyertaan kepada PKBM,” katanya.