PUTRAJAYA: Lebih 20,000 peserta membanjiri Dataran Istana Kehakiman Putrajaya di sini, hari ini sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
HSN yang kembali diadakan dengan skala besar pasca COVID-19 menyaksikan sebanyak 56 acara dan aktiviti peringkat kebangsaan diadakan kali ini.
Antaranya adalah program ikonik HSN iaitu neon ride, fun run, fun ride serta fun walk selain aktiviti seni mempertahankan diri, 1000 Liga Peringkat Kebangsaan, Karnival Inspire Orang Kurang Upaya (OKU), jualan barangan sukan (bazar sukan), pameran jabatan dan agensi kerajaan.
Tahun lalu, HSN disambut di seluruh negara secara hibrid susulan pandemik COVID-19 selepas HSN 2020 terpaksa dibatalkan akibat penularan wabak itu.
Edisi pertama HSN pada 2015 yang menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak dalam Satu Hari dengan jumlah 17,648 aktiviti sukan, berjaya menarik penyertaan keseluruhan seramai lebih lima juta orang.
Pada penganjuran tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasasarkan penyertaan sebanyak 4.5 juta di seluruh negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kementeriannya akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai budaya dalam masyarakat di Malaysia.
Malah, beliau turut menzahirkan kesyukuran selepas kementeriannya diberi peruntukan sebanyak RM977,543 juta menerusi pembentangan Bajet 2023, semalam.
“Usaha ini bukan sahaja untuk mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Sukan’ tetapi, mampu menjana impak positif termasuk peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, perniagaan dan pelbagai lagi.
“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan kerana mengiktiraf usaha KBS dalam melonjak kemajuan sukan dan pembangunan belia.
“KBS yakin inisiatif yang dibentangkan ini adalah manisfestasi keprihatinan dan usaha berterusan terhadap tindakan yang dimulakan oleh KBS sepanjang setahun ini.
“Ia pasti akan membantu pembangunan belia dan sukan negara demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya pada majlis perasmian HSN2022 itu.
Ahmad Faizal turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit bagi menjayakan HSN2022 termasuk sumbangan dan pemerhatian serius daripada pihak kerajaan.
“Terima kasih kepada seluruh kementerian, agensi kerajaan, NGO dan rakan-rakan media kerana turut terlibat sama dalam penganjuran HSN 2022 khususnya melibatkan kempen serta promosi.
“Saya juga amat berbesar hati kerana penganjuran HSN mendapat perhatian serius yang mana hasil pembentangan Bajet 2023 semalam, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan penganjuran HSN pada tahun hadapan,” katanya. -BERITA HARIAN