Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
BUKIT JALIL: Ketika kemelut yang melanda penganjuran Le Tour De Langkawi (LTDL) edisi ke 2023 meletus minggu ini, hanya pasukan Astana Qazaqstan yang berstatus ‘World Tour’ sudah memberi pengesahan awal untuk kembali mengambil bahagian dalam perlumbaan musim ini.
Selain Astana, pasukan EF Education-Easypost juga hampir pasti akan turut serta dan kini, pihak penganjur hanya menunggu pengesahan pasukan Movistar, selaku juara bertahan menerusi penampilan Ivan Sosa bagi melengkapkan senarai tiga pasukan ‘World Tour’ untuk saingan kali ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi LTDL 2023, Emir Abdul Jalal, jaminan sudah diberikan pasukan Astana Qazaqstan untuk mengambil bahagian walaupun ketika nama LTDL dikeluarkan badan induk dunia, UCI dari kalendar perlumbaan.
“Untuk ‘World Team’ tiga ini, setakat ini Astana terus bagi pengesahan, dan kemudian EF Education nampak gaya memang cerahlah sebab semua dah selesai dan mereka pun dah masuk dalam dia punya kalendar, dalam dia punya ‘roster team’ untuk datang ke LTDL 2023, cuma yang kami tengah berusaha adalah Movistar, Movistar proses sebab dia juara keseluruhan tahun lalu, jadi, kami mengharapkan sebagai penyandang jersi akan datang ke LTDL 2023,” kata Emir.
Emir mengakui pihaknya berkeyakinan tinggi segala hutang yang membelenggu penganjuran edisi 2022 dapat diselesaikan berdasarkan kemampuan yang dimiliki Human Voyage.
Dan itulah juga jaminan yang dibawa Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang menyaksikan LTDL kembali tersenarai.
“uci pernah mengatakan yang isu tahun lalu ni hanya akan melibatkan pendaftaran untuk ltdl 2024, jadi 2023 ni kami di msn dah membayar kesemuanya macam sanction fee ke uci semua dah dibayar, sanction fee ke pkbm semua part-part awallah dalam proses pendaftaran untuk 2023 ni kami dah selesai, jadi bila part ni berlaku, memang pihak pkbm tidak berpuas hati sebab apabila tarikh 2023 ni dikeluarkan, itu bukan sebahagian daripada perjanjian dengan uci, saya rasa itu yang datuk amarjit pergi ke uci untuk memastikan isu ini tak berlakulah,” tambah Emir.
Perlumbaan Le Tour de Langkawi 2023 kekal dengan status ‘Proseries’, akan membuka tirai saingan bermula 23 hingga 30 September depan.