comscore
Tumpuan :
Sukan

Lawan kelab tetap bagus untuk pantau pemain – Vicente

Ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya, Pau Marti Vicente pada sidang media sebelum berangkat ke New Zealand bagi aksi antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Auckland, 14 Oktober ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente tetap memandang positif meskipun Harimau Malaya hanya akan menentang pasukan berstatus kelab bagi aksi persahabatan, Jumaat ini.

Vicente menjelaskan perlawanan itu akan digunakan sebagai persiapan berdepan New Zealand dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, 14 Oktober nanti.

Pengendali dari Sepanyol itu percaya aksi berdepan kelab tetap akan menjadi perlawanan yang berkualiti buat Harimau Malaya kerana pasukan yang akan ditentang adalah salah satu kelab utama.

“Kita akan berdepan kelayakan Piala Asia pada Mac depan, bagi saya apa yang penting adalah cuba mendapatkan perlawanan persahabatan yang berkualiti untuk persiapkan pasukan.

“Kita akan bermain aksi persahabatan dengan kelab di New Zealand, saya fikir pasukan kelab yang kuat dan saya harap ia juga dapat membantu pemain untuk mendapatkan minit permainan.

“Jadi, untuk kami ia tetap bagus untuk memantau pemain. Untuk kali ini kami terlepas peluang untuk bermain satu lagi aksi persahabatan (Tier 1), tetapi bagi barisan kejurulatihan, kami gembira dapat peluang ini,” katanya.

Semalam, Vicente dalam kenyataan mengesahkan Harimau Malaya terpaksa menentang pasukan kelab utama di New Zealand selepas gagal mendapatkan pasukan kebangsaan negara lain untuk aksi persahabatan.

Perkembangan itu menyaksikan skuad negara hanya akan mengharungi satu aksi antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Auckland dalam kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 7 hingga 15 Oktober.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini