comscore
Tumpuan :
Sukan

Larian Denai Ultra kembali sebagai acara larian berprestij di Malaysia

Sange Sherpa juara 100KM CULTRA 2024

Oleh: Hasnida Hanim Ahmad Kamil

CAMERON HIGHLANDS: Terkenal dengan acara larian denai ultra terkemuka dan berprestij di Malaysia, Cameron Ultra (CULTRA) kembali menemui peminatnya pada 12 hingga 14 Julai yang lalu bertempat di Cameron Highlands, Pahang.

Memasuki edisi ke-7 ia menyaksikan penyertaan seramai 2,000 peserta tempatan dan antarabangsa dari 37 buah negara antaranya Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam, Jepun, Perancis, Britain, Jerman, India, China, Australia, Taiwan Belanda, Amerika Syarikat dan Kanada dengan menawarkan 5 kategori jarak perlumbaan iaitu 4KM, 14KM, 30KM, 60KM dan 100KM.

CULTRA 2024 juga menjadi acara denai ultra pertama di Malaysia yang menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang dalam bentuk wang tunai dengan jumlah keseluruhan hampir RM27,000.

Pengarah Komunikasi dan Media BOLT, Azlihana Abdul Rahim berkata, CULTRA 2024 terus meraih penyertaan positif pada tahun ini bersandarkan kemampuannya menawarkan pelbagai keunikan dalam acara larian denai secara inklusif sejak 2016.

Lokasi CULTRA yang diadakan di Cameron Highlands menawarkan panorama menarik dan cuaca sejuk memberikan kelainan serta keunikan kepada peserta menikmati laluan larian denai yang ada di Malaysia.

“Apabila peserta menyertai CULTRA mereka dapat menikmati keindahan laluan denai di Cameron Highlands yang pelbagai seperti Ladang Teh Boh yang terkenal di Malaysia, Air Terjun Robinson dan Kem Sungai Pauh.

Tidak sekadar itu, beberapa kategori larian bakal menempuhi cabaran mendaki gunung terkenal di Cameron Highlands iaitu Gunung Jasar, Gunung Berembun dan Gunung Brincang Barat yang terkenal dengan keindahan hutan tropikanya.”

CULTRA 2024 bukan sahaja terkenal sebagai laluan larian denai yang mencabar kerana peserta perlu melalui pelbagai bentuk muka bumi unik, malah keadaan cuaca yang sukar diramal, menjadi daya tarikan kepada pelari denai elit tempatan dan antarabangsa.

Dan gelaran juara bagi kategori utama iaitu 100KM dimenangi pelumba dari Nepal Sange Sherpa yang berjaya melakar catatan masa 14 jam 21 minit 47 saat, manakala bagi saingan wanita pula dimenangi pelumba tempatan, Halimatul Saadiah yang menamatkan larian dalam tempoh 21 jam 35 minit 29 saat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini