RHÔNE-ALPES: Aksi lumba basikal lebuh raya Kriterium Du Dauphine di Perancis menyaksikan peringkat ketiga dimenangi pelumba Jumbo-Visma, Christophe Laporte menerusi penentuan foto berikutan henjutan sengit di garisan penamat.
Perlumbaan peringkat ketiga edisi ke-75 itu menawarkan jarak terpanjang daripada lapan saingan yang dipertandingkan.
Kayuhan sejauh 194.5 kilometer tersebut bermula dari Monistrol-sur-Loire menuju Le Coteau yang dikategorikan sebagai zon berbukit.
Christophe Laporte membuat henjutan terakhir yang meletakkannya di posisi pertama pada penghujung babak pertarungan.
Ia merupakan kemenangan kedua peribadi peringkat edisi kali ini membolehkannya mendahului kedudukan keseluruhan.
Laporte yang mengungguli acara pecutan mengatasi Sam Bennett dari Bora-Hansgrohe dan wakil Jayco Al Ula, Dylan Groenewegen terus memperkukuh kelebihan menjelang ujian masa individu 31 kilometer di peringkat keempat.
Kejayaan itu juga mengekalkan dominasi pelumba Perancis selepas Julian Alaphilippe memegang gelaran peringkat kedua.