KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya yang ‘bersalin kulit’ tetap mampu ‘menerkam’ sekali gus membuatkan Laos perlu berhati-hati menjelang pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, disini, malam ini.
Pengendalinya, Micheal Weiss mengganggap Malaysia sebagai pasukan yang mampu menjadi pencabar seperti Vietnam dalam Kumpulan B yang turut membabitkan Singapura dan Myanmar.
“Walaupun kehilangan pemain tonggak, mereka masih dapat membentuk pasukan yang bagus. Ini bermakna mereka ada liga yang terbaik.
“Malaysia adalah sebuah pasukan yang berkualiti dan semua pemain mereka adalah berbahaya. Mereka pantas, boleh menggelecek bola dengan baik dan mampu membuat percubaan.
“Jadi kita perlu bertahan dengan lebih baik dan tidak boleh dibolosi awal kerana ia akan menyulitkan kita jika Malaysia berjaya mendapat rentak,” kata Weiss pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Dalam perkembangan sama, jurulatih dari Jerman itu mengakui pasukannya agak tempang memandangkan ada beberapa pemain yang masih mengalami kecederaan dengan kesebelasan terbaik hanya dapat ditentukan sebelum saingan bermula.
“Kami baru tiba malam tadi (kelmarin) dan ada beberapa pemain masih lagi perlu dipantau kerana mengalami kecederaan.
“Namun, saya percaya motivasi mereka untuk berikan yang terbaik buat negara masih membara meskipun tewas besar kepada Vietnam sebelum ini,” katanya.