KUALA LUMPUR: Langkah beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terhenti di separuh akhir Terbuka Malaysia 2025 apabila tewas kepada pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, pasangan nombor enam dunia itu kecundang dalam aksi tiga set.
Selepas menang ketiga-tiga perlawanan awal dengan keputusan straight set, Soon Huat-Shevon tampak seperti berada di landasan sebenar apabila menang set pertama 21-17.
Begitupun, momentum itu tidak berjaya diteruskan pada set kedua yang menyaksikan kedua-duanya banyak melakukan kesilapan untuk ketinggalan 4-12 sebelum tewas 12-21.
Dan sekalipun cuba bangkit pada set ketiga, Dechapol-Supissara yang juga beregu ranking lapan dunia tampak semakin yakin.
Kerapuhan Soon Huat-Shevon sekali lagi terserlah apabila ketinggalan jauh 1-5 dan sekalipun berjaya mengejar kedudukan sehingga 11-12, kesilapan sama berulang sebelum tewas dengan keputusan 16-21 dalam tempoh 63 minit sekali gus terlepas peluang merebut hadiah juara AS$107,300 (RM482,686).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.