KUALA LUMPUR: Langkah beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah pada Terbuka India terhenti apabila tumbang di separuh akhir, sebentar tadi.
Pilihan ketiga kejohanan itu tewas di tangan pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong 18-21, 18-21 dalam tempoh 55 minit.
Pada perlawanan di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi, permainan set pertama tampak seimbang di awal perlawanan tetapi kesilapan mudah menyaksikan Pearly-Thinaah pada satu ketika ketinggalan 11-15.
Sekalipun cuba bangkit, pasangan nombor lima dunia itu hanya mampu mengejar hingga angka 18 sebelum cabaran mereka berakhir.
Situasi hampir sama berlaku pada set kedua dengan gandingan negara terpaksa mengejar kedudukan mata sebelum tunduk pada angka 18 sekali lagi.
Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-19, 21-18 semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.