Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
SHAH ALAM: Keciciran Malaysia daripada menyertai kejuaraan bola sepak Piala Asia bawah 17 (B-17) dan 20 tahun (B-20) dijadual tahun depan jelas satu tamparan hebat buat bola sepak negara.
Apatah lagi agak berasa malu apabila memikirkan dua pasukan jiran, Thailand serta Indonesia layak beraksi dalam kedua-dua saingan tersebut kelak.
Kegagalan ini mendedahkan kelemahan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bekas jurulatih remaja kebangsaan, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan prestasi hambar skuad negara di pusingan kelayakan tidak sepatutnya berlaku memandangkan banyak perbelanjaan telah dikeluarkan.
Ia juga menyerlahkan kualiti sederhana terhadap barisan kejurulatihan dan pemain ketika ini, selain kepincangan yang masih lagi berlaku di peringkat pelapis.
“Bagi saya FAM tak boleh sekadar panik, mereka harus teliti jurulatih-jurulatih nak diserapkan ke AMD (Akademi Mokhtar Dahari), NFDP ke apa-apa sahaja la kerana ada negeri-negeri yang melantik ketua jurulatih remaja tetapi tendang bola pun tak boleh,” jelas Irfan yang berpengelaman membimbing skuad bawah 23 tahun (B-23) negara pada 1997.
Negara juga seakan ketandusan kelompok pemain muda berbakat menyebabkan mereka tidak mampu bersaing bukan sahaja dengan pasukan Asia, tetapi kembali terkial-kial di peringkat Asean.
Beliau juga tidak menolak, program persiapan tangkap muat dan kurang intensif turut menjadi faktor penyumbang kepada aksi tidak bermaya di peringkat yang lebih tinggi.
“Mungkin juga faktor pertama sekali pendedahan pemain itu sendiri di peringkat antarabangsa, sebab kita bukan nak jumpa Selangor, Terengganu atau Kuala Lumpur tetapi nak bermain di peringkat antarabangsa… walaupun peringkat umur 17 ke 19 tahun kita harus dapat menyesuaikan situasi yang mana bila tiba di antarabangsa permainan begitu berubah sekali,” jawab Irfan lagi.
Kegagalan skuad bimbingan Javier Jorda Ribera di peringkat kelayakan B-17 di Laos minggu lalu menyebabkan Malaysia menamatkan langkah baik berikutan layak dalam empat edisi (2014, 2016, 2018 dan 2023) sebelumnya.
Sementara Juan Torres Garrido turut gagal untuk mengubah nasib buruk Malaysia di peringkat kelayakan B-20 September lalu menyaksikan negara kekal dengan rekod hanya layak sekali pada 2018 sepanjang lima kempen terakhir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.