
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Industri Sukan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih dengan objektif utamanya bagi membangunkan industri sukan negara.
Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, pusat itu akan bertindak sebagai rujukan dalam menyediakan pengetahuan dan menjalankan penyelidikan.
Menurut laporan itu, pusat kecemerlangan industri sukan ini akan akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam mengenal pasti idea, pengetahuan dan inovasi baharu berkaitan sukan.
Selain itu, laporan berkenaan menyatakan pangkalan data berpusat mengenai industri sukan akan diwujudkan, untuk memudah cara proses membuat keputusan berasaskan maklumat, dalam memajukan pembangunan industri tersebut.
Pangkalan data ini akan menyediakan maklumat seperti produk sukan, pekerjaan dan perbelanjaan pengguna seterusnya membolehkan perancangan yang lebih baik dalam membangunkan industri sukan.
Laporan itu turut memaklumkan langkah untuk memperluas rantaian nilai industri sukan seperti pengeluaran produk, perkhidmatan pengurusan acara, kewartawanan dan penyiaran serta kejurulatihan sukan.
Ia akan dipergiat dengan mengoptimumkan potensi industri berkenaan.
Liga sukan profesional akan diperluas kepada pelbagai jenis sukan untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, seperti jurulatih, personel perubatan dan pengulas sukan, serta peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
Laporan itu turut menyentuh mengenai Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) agar menjana pendapatan serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan.
PSK seharusnya meningkatkan profesionalisme pengurusan yang pastinya akan menggalakkan lebih banyak penajaan diterima pihak mereka.
Kearah itu, sumber kewangan alternatif, termasuk tajaan korporat akan diteroka untuk meningkatkan dana pembangunan sukan.
Menurut laporan itu lagi, insentif cukai berkaitan sukan akan disemak semula untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dan komuniti dalam pembangunan sukan, seperti menaja acara sukan dan menyediakan pekerjaan kepada bekas atlet.