Tumpuan :
Sukan

KRW sedia dana RM2 juta untuk hidupkan semula Kelantan FC, tarik pemain bintang

Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan (kiri) bersama Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah (kanan) selepas menandatangani Perjanjian Usahasama Gsk dan KAFA di majlis pelancaran KRW di Hotel Grand Renai, Kota Bharu, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior (KRW) sedia memperuntukkan satu hingga dua juta ringgit untuk menghidupkan semula Kelantan FC dalam kancah bola sepak negara.

Perbelanjaan kewangan itu termasuk membawa masuk pemain bintang untuk bermain dalam pasukan selain kos pengurusan dan kelab.

Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, pihaknya yakin mampu menyediakan perbelanjaan sebanyak itu kerana memiliki sumber kewangan yang kukuh.

“Kebanyakan kami adalah 116 pelabur-pelabur yang pernah membiayai The Red Warriors (Kelantan FC) dulu kini kami berpindah ke KRW.

“Kita juga ada syarikat dan pelabur luar yang kita tak boleh nak umum sekarang,” katanya ketika sidang media di majlis pelancaran KRW di Hotel Grand Renai, Kota Bharu, di sini, hari ini.

Nik Hafiz yang juga Pengerusi Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) berkata, pihak kelab turut mengekalkan logo treble 2012 sebagai identiti KRW dengan sedikit perubahan.

Terdahulu, KRW yang baru berusia tujuh hari ditubuhkan GSK yang diketuai Nik Hafiz yang memilik saham kedua terbesar TRW sebanyak lima peratus.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham memiliki 65 peratus dan baki saham dimiliki 116 pelabur lain yang dikatakan akan berpindah membentuk KRW.

Tindakan ini diambil selepas usaha untuk mengambil alih TRW sepenuhnya daripada Zamsaham gagal.

KRW bakal membuat penampilan pertama dalam Liga A1 dan mengesahkan sudah membuat permohonan kepada pihak Liga Bolasepak Amatur (AFL) selain mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini