Tumpuan :
Sukan

KRW pilih Irfan Bakti

Irfan Bakti Abu Salim menggalas tugas mengemudi pasukan KRW. FOTO: Ihsan pembaca

KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior (KRW) nyata serius mahu mengembalikan kegemilangan pasukan Kelantan apabila memilih Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih.

Irfan Bakti bukan nama asing kerana berpengalaman lebih 30 tahun dalam kancah bola sepak negara.

Malah jurulatih berusia 74 itu pernah mengendalikan beberapa pasukan seperti Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan selain berkhidmat memimpin pasukan Kuching City FC pada tahun 2023.

Kepulangan Irfan memimpin pasukan Pantai Timur itu ibarat sirih pulang ke gagang apabila pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih ketika The Red Warrior (TRW) dikendali Datuk M Karathu.

Jurulatih kelahiran Perak itu juga pernah menyarung jersi kebangsaan selain menjadi pertahanan Kelantan.

Kehadiran Irfan ke kem Kelantan disahkan Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan, hari ini di laman rasmi pasukan di Facebook.

Dalam kenyataan rasmi itu, pasukan mengalukan kehadiran Irfan dan meminta penyokong terus memberikan sokongan padu kepada pasukan yang ‘dilahirkan semula’ selepas kehilangan TRW dalam peta bola sepak negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini