KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) tidak seharusnya menanggung beban tambahan dengan ‘dipaksa’ mengeluarkan duit bagi menampung pembayaran penggunaan kos Video Bantuan Pengadil (VAR) yang bakal dilaksanakan bermula musim depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan VAR bukan berada di bawah tanggungjawab pasukan yang menjadi ‘peserta’, apatah lagi mereka terhimpit dengan kedudukan kewangan susulan pandemik serta penstrukturan liga musim depan.
“Syabas kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana ini satu permulaan yang baik bagi meredakan tekanan daripada penyokong bola sepak tempatan. Tetapi kita faham isu VAR ini membabitkan kos yang tinggi untuk dilaksanakan.
“Jadi, dalam aspek tanggungjawab, kita melihat VAR ini bukan di bawah tanggungjawab pasukan dan faktor kedua, kita perlu meneliti dari aspek kemampuan pasukan juga. Cuma dalam keadaan sekarang, saya tidak rasa ada pasukan yang mampu.
“Tetapi kalau ada pasukan mahu dan mampu berbuat demikian di stadium masing-masing, kenapa tidak? Mungkin juga pasukan itu boleh bekerjasama dengan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Kita harus tunjukkan yang kita sedang bergerak ke arah penggunaan VAR, cuma kita juga tidak harus lupa untuk turut memperkasa bidang kepengadilan kita kerana VAR tidak menyelesaikan masalah mutu pengadilan sepenuhnya,” katanya.
Justeru, Pekan mengharapkan FAM tidak ‘menarik brek tangan’ berhubung pelaksanaan VAR sekiranya berdepan kekangan dari sudut kewangan bagi melaksanakan sistem itu pada musim 2023 seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Sebab itulah saya bersetuju apabila FAM mengadakan VAR secara berperingkat kerana sistem itu pun sudah jadi satu keperluan, kalau tidak ambil tahu mengenainya pun tidak boleh juga.
“Mungkin juga FAM boleh bekerjasama dengan syarikat korporat di mana bajet menguruskan VAR itu ditanggung oleh pihak korporat menerusi pendekatan usaha sama dan penajaan.
“Katakanlah kos keseluruhannya mencecah RM10 juta untuk sistem VAR itu, FAM boleh memberikan faedah menerusi pembabitan syarikat korporat,” katanya. – BERITA HARIAN