comscore
Tumpuan :
Sukan

 Kontrak lanjutan Pan Gon sudah dibincang – FAM 

Foto: BAM/ Facebook

PETALING JAYA: Walaupun status kontrak Kim Pan Gon selaku Ketua Jurulatih Harimau Malaya menjadi tanda tanya, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, Pan Gon mendapat sokongan badan induk itu untuk terus memajukan pasukan negara.

Bermakna Pan Gon akan terus membimbing skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kesemua aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 meskipun bekas  ketua jurulatih Hong Kong itu dikhabarkan sehingga hari ini masih belum menandatangani kontrak lanjutan.

“Sudah ada perbincangan (isu lanjutan kontrak) tetapi biarlah kita selesaikan kempen pusingan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dahulu…memang betul beliau (Pan Gon) akan terus dapat peluang bawa pasukan kebangsaan kerana beliau telah merangka segala program sehingga tahun depan,” kata Datuk Noor Azman pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali ke-9 Penggal 2021-25 yang dipengerusikan  Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Foto: BAM/ Facebook

Pan Gon yang dilantik pada Januari tahun lepas bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Cheng Hoe, berjaya meningkatkan mutu serta memberi nafas baharu kepada pasukan negara.

Pada saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan Taiwan.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Nov ini, sebelum bertandang ke Taipei City untuk aksi kedua bertemu Taiwan pada 21 Nov dan akan meneruskan baki perlawanan tahun hadapan.

Loading...
Terkini