Tumpuan :
Sukan

Kontinjen negara tidak sertai acara bola sepak di Sukan Asia Hangzhou

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pihaknya tidak akan menghantar skuad bola sepak negara kendalian E Elavarasan menyertai Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China tahun ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan keputusan itu dibuat susulan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara perlu memberi keutamaan kepada kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada September ini.

Katanya, selain kelayakan Piala Asia B-23, skuad E Elavarasan juga perlu memberi fokus kepada dua lagi kejohanan penting termasuk Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF.

“Pada Mei ini mereka akan pergi ke Kemboja untuk Sukan SEA sebab acara bola sepak akan bermula terlebih dahulu. Satu lagi kejohanan penting adalah kelayakan Piala Asia B-23 pada September.

“Disebabkan itu, setelah berbincang dengan pengarah teknikal dan jurulatih, kita sudah putuskan bersama barisan EXCO bahawa kita tidak akan sertai Sukan Asia di Hangzhou kerana kita memikirkan ini adalah lebih mustahak.

“Kita tak nak masuk semua kejohanan, akhirnya semua tak jadi. Fokus kita adalah tiga, Sukan SEA, kelayakan B-23 yang belum tahu di mana dan juga Piala AFF B-22 pada November,” katanya.

Pada Sabtu lalu, FAM mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil Elavarasan untuk menyertai latihan pusat skuad B-23 bermula hari ini hingga Ahad ini.

Ia sebagai persiapan awal skuad muda negara bagi menghadapi beberapa kejohanan pada tahun ini.

Loading...
Terkini