Tumpuan :
Sukan

Kontinjen Universiti Malaysia Cemerlang Di Turkiye

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kontinjen Universiti Malaysia melakar pencapaian membanggakan dalam acara wushu apabila memenangi tiga pingat emas, tiga perak dan satu gangsa pada Kejohanan FISU Piala Dunia Sukan Kombat Universiti Dunia di Samsun, Turkiye, semalam.

Ia adalah kejohanan edisi pertama oleh Persekutuan Sukan Universiti Dunia (FISU) yang menghimpunkan enam acara sukan kombat – wushu, sambo, gusti, karate, tinju dan muaythai.

Acara wushu yang berakhir lebih awal semalam menyaksikan atlet negara, Tammy Tan Hui Ling menyumbang emas pertama untuk Malaysia.

Pelajar Asia Pasific University (APU) itu mencatat 9.28 mata dalam acara changquan wanita dan baru sahaja tiba dua hari lalu di Samsun selepas memenangi emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.

“Saya terlepas satu acara jianshu kerana tiba di sini lewat sedikit, tetapi saya gembira dapat satu emas walaupun sangat penat kerana dari SUKMA terus ke sini,” katanya.

Emas kedua negara disumbangkan Tan Cheong Wan yang juga pelajar APU menerusi acara daoshu lelaki selepas mengutip 9.57 mata.

Calvin Lee Wai Leong dari Despark International College menyumbang emas ketiga kontinjen negara selepas mengungguli saingan nanquan lelaki dengan catatan 9.50 mata.

“Di Universiade (Sukan Universiti Dunia) Taipei 2017 saya dapat perak, tetapi sayang Universiade 2021 ditangguhkan lagi ke tahun depan 2023, jadi saya sudah tidak boleh bertanding,” kata Calvin.

Malaysia turut memenangi tiga pingat perak menerusi acara nangun lelaki, qiangshu dan taijjian wanita dan pingat gangsa tunggal diperolehi menerusi acara daoshu lelaki.

Penyertaan kontinjen Malaysia dalam acara wushu dan karate ke kejohanan ini sebagai persiapan menghadapi Universiade 2023 di Chengdu, China tahun depan. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini