KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City terus mencipta sejarah di pentas Piala AFC musim ini apabila berjaya mengesahkan tempat ke final Antara Zon.
Lebih manis, kejayaan itu tercipta di gelanggang lawan selepas anak buah Bojan Hodak menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 pada separuh akhir Antara Zon di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, sebentar tadi.
Mohun Bagan yang diketuai Florentin Pogba iaitu abang kepada bintang Perancis, Paul Pogba dilihat lebih banyak menguasai permainan, namun gagal mencipta jaringan.
Sebaliknya, Paulo Josue mencipta kejutan buat KL City apabila meledak gol pembukaan selepas rembatannya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Vishal Kaith.
Jaringan pada minit ke-60 itu adalah gol kelima disumbangkan Josue yang juga kapten KL City sepanjang kejohanan dan terus meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak City Boys di pentas Piala AFC musim ini.
Mohun Bagan kembali menghidupkan peluang mereka apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90 menerusi penyudah Fardin Ali Molla yang melakukan rembatan di dalam kotak penalti.
Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan kira-kira dua minit apabila Fakrul Aiman Sidid mencetak namanya sebagai penjaring untuk kembali meletakkan City Boys di depan.
Drama di hujung perlawanan berterusan apabila Romel Morales kemudian menambah gol ketiga pada minit ke-95 (termasuk masa kecederaan) sekali gus meranapkan impian Mohun Bagan untuk bangkit dan membawa KL City ke final Antara Zon.
KL City akan berdepan PFC Sogdiana di final Antara Zon yang dijangka berlangsung bulan depan selepas kelab Uzbekistan itu menewaskan wakil Hong Kong, Eastern Long Lions dalam satu lagi aksi separuh akhir.-BERITA HARIAN