Tumpuan :
Sukan

KL City lakar kemenangan hatrik, benam cabaran Penang

Foto ihsan MFL

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) FC berjaya merakam kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super 2024/2025 apabila membenam cabaran Penang City 4-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Walaupun pasukan pelawat terlebih dahulu menggegarkan gawang lawan seawal minit ketiga menerusi Adib Raop, namun gol terbabit tidak membuatkan tuan rumah goyah.

Malah, skuad bimbingan Miroslav Kuljanac hanya memerlukan lima minit untuk menjaringkan gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Paulo Josue yang mudah menolak bola untuk kedudukan 1-1.

Ternyata, gol terbabit meniup semangat KL City apabila kerap melakukan serangan berbahaya bagi mencari jaringan tambahan.

Pemain Import KL City, Jovan Motika menghadirkan keceriaan buat penyokong dengan menyumbat gol kedua tuan rumah pada minit ke-22.

Foto: MFL

Memasuki babak kedua, tuan rumah melakukan pertukaran dengan memasukkan tonggak bawah 23 tahun, Haqimi Azim Rosli bagi menyuntik jentera serangan.

Nyata, percaturan terbabit membuahkan hasil apabila Haqimi meledakkan gol ketiga tuan rumah pada minit 54 untuk kedudukan 3-1.

Pertahanan skuad kendalian Akmal Rizal Rakhli ternyata goyah apabila mudah membenarkan Haqimi melakukan larian sebelum melepaskan rembatan untuk menumpaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ke-74 sekali gus menjadikan kedudukan 4-1.

Penang cuba bangkit pada minit terakhir perlawanan menerusi tandukan Rodrigo Dias namun jaringan itu tidak banyak membantu pasukan pelawat untuk meraih sekurang-kurang satu mata.

Keputusan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan KL City terus mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super.

KL City kini menduduki tangga kelapan Liga Super, manakala Penang pula ditempat ke-10 dengan masing-masing memungut 10 mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini