
GEORGE TOWN: Kuala Lumpur City (KL City) membuka tirai kempen Piala Malaysia dengan kemenangan bergaya selepas membenam Penang FC 4-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.
Juara Piala Malaysia 2021 itu memberi amaran seawal minit kedua apabila tonggak utamanya, Paulo Josue merembat bola muntah Khatul Anuar namun tersasar ke sebelah kanan gawang.
Tidak menunggu lama penyerang berbisa KL City, Tchetche Kipre membuka tirai jaringan selepas menyudahkan lorongan menarik Sebastian Avanzini pada minit keempat.
Kipre terus mengganas apabila tandukannya berjaya mencetak gol kedua kem pelawat hasil hantaran pemain tengah, Zhafri Yahya pada minit ke-26.
Sebelum itu, penyerang dari Ivory Coast berkenaan nyaris mencatat hatrik pada minit ke-14, namun golnya dibatalkan pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin kerana ofsaid.
Kekecewaan KL City tidak lama.
Enam minit berselang, giliran Zhafri mencipta nama selaku penjaring, KL City tiga kosong mendahului.
Skuad warga kota menambah derita Penang apabila pemain gantian, Romel Morales yang baharu dimasukkan kurang lima minit menjaringkan gol keempat pada minit ke-84.
Kedua-dua pasukan akan kembali membuat perhitungan pada aksi timbal balik di Stadium Kuala Lumpur pada 18 Ogos ini.