KUALA LUMPUR: Datuk Abu Samah Abd Wahab melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengekalkan jawatan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), bagi penggal 2023 hingga 2026.
Selepas pencalonan ditutup pada jam 3 petang Jumaat, Abu Samah disahkan menang tanpa bertanding, sekali gus menerajui PKBM bagi penggal kesembilan berturut-turut.
Perkembangan itu menyaksikan Abu Samah secara rasminya menang tanpa bertanding pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PKBM yang dijadualkan berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 18 Februari ini.
Pada AGM itu, Yunus Ibrahim akan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden berdepan saingan daripada Datuk Amarjit Singh Gill dan Mazlan Md Jail, masing-masing Naib Presiden PKBM pada penggal sebelum ini.
Manakala jawatan Naib Presiden PKBM bakal menyaksikan pertembungan 10 penjuru untuk mengisi lima kerusi yang dipertandingkan untuk jawatan berkenaan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar yang juga Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) antara calon bagi jawatan itu dan bakal berdepan Amarjit Singh, Firdaus Arshad, Mohd Saiful Abdul Jalil, Nohazlee Md Zaki, Mohd Asri Abd Mubin, Mohd Yusof Abd Nasir, Muhammad Firdaus Dawod, Norazman Ab Samah dan Dr Za’im Ahmad. – HARIAN METRO