KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) sebulat suara mengekalkan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk misi ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pemain berusia 25 tahun itu kekal mendapat segala perkhidmatan yang diperlukan seperti yang diperuntukkan bagi atlet di bawah program terbabit.
“Kita tiada anak emas, semua anak emas dan semua atlet kita, kita bagi elaun RM3,000 untuk yang masuk (RTG).”Kita berikan sokongan perkhidmatan dari Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan mereka ada peluang untuk berjaya,” katanya pada sidang media Mesyuarat RTG di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Terdahulu, Zii Jia yang sudah terkeluar daripada ranking 10 terbaik dunia mengambil keputusan untuk ‘menggantung raket’ seketika susulan prestasi hambar yang dilakar dalam beberapa kejohanan.
Keputusannya untuk berehat seketika dilihat bakal menjejaskan lagi pungutan mata untuk kedudukan rankingnya selain kemungkinan berdepan masalah kecergasan kerana tidak beraksi secara kompetitif.
Sementara itu, Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan perubahan kriteria yang dipertimbangkan menyaksikan tiada atlet yang keluar, malah ada yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam program RTG.
Justeru, Stuart mengesahkan gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan turut kekal dalam program RTG selain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mencadangkan Ng Tze Yong dan Chen Tan Jie-Toh Ee Wei dimasukkan dalam RTG.
“Pertimbangan dibuat mengikut teknikal berdasarkan kiraan mata untuk Olimpik dan dari segi ini, Zii Jia tidak terkeluar daripada pertimbangan ini.
“Buat masa ini, status Zii Jia tidak berubah dan dia sebahagian daripada program RTG tetapi kita akan mengadakan perbincangan bersamanya dan juga jurulatihnya untuk melihat perancangan mereka yang seterusnya.
“Kian Meng-Pei Jing juga kekal dalam RTG tetapi persembahan mereka akan dinilai semula pada September,” katanya.