Tumpuan :
Sukan

‘Kita perlu memahami situasi kelab yang membantu kita, kita juga perlu membantu mereka’ – FAM

Harimau Malaya kehilangan lima pemain menjelang aksi menentang Thailand pada perlawanan ketiga Kumpulan A Piala Asean 2024 di Stadium Rajamangala, Sabtu ini. FOTO: FAM / Facebook

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan lima pemain terpaksa meninggalkan skuad Harimau Malaya, dua hari sebelum menentang juara bertahan, Thailand pada aksi ketiga Kumpulan A, Piala Asean 2024 di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.

Lima pemain itu termasuk empat tonggak Sabah FC iaitu Dominic Tan, Stuart Wilkin, Darren Lok dan Daniel Ting yang perlu memberi tumpuan kepada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Ahad nanti.

Seorang lagi pemain yang tidak menyertai skuad ke Bangkok ialah penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad akibat kecederaan di bahagian buku lali.

Situasi itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai dilema antara kepentingan kelab dan pasukan kebangsaan terutama di saat Harimau Malaya berdepan perlawanan penting.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menyatakan pihaknya memahami keperluan kelab, apatah lagi dengan jadual bola sepak yang semakin padat.

“Empat pemain dari Sabah tidak bersama pasukan, namun pemain lain termasuk Syamer Kutty Abba dan Adib Raop dari Penang FC berlepas ke Bangkok pagi tadi,” katanya selepas majlis pelancaran jam tangan edisi khas CAT X Harimau Malaya di Wisma FAM, hari ini.

Kehilangan empat tonggak utama itu memberi tekanan besar kepada skuad bimbingan Pau Marti Vicente terutama selepas persembahan hambar ketika menewaskan Timor Leste 3-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Walaupun mengutip tiga mata penting, kritikan peminat terhadap corak permainan pasukan tidak dapat dielakkan terutama selepas Timor Leste mendahului 2-1 ketika rehat.

Kini, tanpa Dominic di bahagian pertahanan tengah, Wilkin di jentera tengah, serta Darren dan Daniel yang sering menjadi pilihan utama, Vicente perlu mencari formula baharu untuk memastikan Harimau Malaya mampu bersaing sengit dengan Thailand.

“Kita harap pasukan akan buat yang terbaik di Thailand. Saya yakin barisan kejurulatihan boleh mengimbangi skuad, walaupun dengan ramai pemain muda.

“Kita perlu memahami situasi kelab yang juga membantu kita dan kita juga perlu membantu mereka,” jelas Noor Azman.

Persoalan itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan penyokong yang mahu melihat skuad kebangsaan diberi keutamaan dalam kejohanan antarabangsa.

Namun, situasi jadual padat liga domestik sering kali membatasi kerjasama antara FAM dan kelab tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini