comscore
Tumpuan :
Sukan

Kim Swee umum tinggalkan Sabah FC, lawan PT Athletic yang terakhir

Ketua jurulatih Sabah FC yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Datuk Ong Kim Swee memutuskan untuk meninggalkan pasukan kendaliannya hujung bulan ini. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengumumkan keputusan untuk meninggalkan skuad itu apabila kontraknya tamat hujung bulan ini.

Berita mengejutkan itu dikongsikan beliau menerusi kenyataan yang diberikan kepada media, pagi ini.

Kim Swee bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut keputusannya itu, lebih-lebih lagi sebelum ini Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mengumumkan keputusan menyambung kontraknya hingga tamat saingan Liga Super musim ini.

Menerusi kenyataannya, Kim Swee yang membimbing Sabah selama tiga tahun berkata, beliau memilih haluan berbeza dengan tugas terakhirnya perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai ketua jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.

“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024. Selama 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa.

“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini,” katanya.

Beliau juga tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada penyokong Sabah, yang disifatkannya sangat bermakna kepada pasukan.

“Anda (penyokong) adalah nadi kelab ini. Sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang.

“Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Kim Swee membimbing Sabah sejak 2022 menggantikan pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto dan berjaya meletakkan pasukan itu antara tiga teratas Liga Super selain layak ke kejohanan AFC tahun lalu.

Loading...
Terkini