KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya bakal berdepan tugas mencabar dalam perlawanan menentang kelab Australia, Macarthur FC di separuh akhir Piala AFC Zon Asean esok.
Selain faktor cuaca, Kim Swee sedar prestasi semasa dan juga persedian pasukan bagi menghadapi perlawanan penting itu turut memihak tuan rumah.
Begitupun Kim Swee tetap optimis anak buahnya mampu memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan esok sekali gus mencipta kemenangan untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Kita biasa bermain waktu malam di Malaysia tetapi esok kita akan bermain pada tengah hari dan ini pasti akan menjadi sedikit kesukaran kepada pemain dan pasukan.
“Macarthur dilihat mempunyai kelebihan kerana kerana mereka tidak pernah kalah dalam tujuh perlawanan terakhir dan kami tiada perlawanan kompetitif sementara mereka mempunyai banyak perlawanan sebelum perlawanan ini.
“Kita akan terus memandang ke depan dan saya percaya kami boleh berikan yang terbaik. Esok akan menentukan segalanya,” kata dalam sidang media praperlawanan separuh akhir Piala AFC Zon Asean, hari ini.
Selain itu, Kim Swee turut mengikuti perkembangan semasa pasukan Macarthur FC dalam perlawanan liga dan beliau menyarankan agar setiap permain Sabah FC harus lebih peka dalam perlawanan nanti.
Sabah FC mara ke separuh akhir Piala AFC Zon Asean apabila muncul juara Kumpulan H mengumpul 12 mata mengatasi Hai Phong FC (Vietnam), PSM Makassar (Indonesia) dan Hougang United (Singapura).
Macarthur FC pula menjuarai Kumpulan F dengan 15 mata, mengenepikan Phnom Penh (Vietnam), Cebu (Filipina) dan Shan United (Myanmar)
Perlawanan Sabah FC menentang Macarthur FC dijadual berlangsung jam tiga petang waktu Malaysia esok di Stadium Campbelltown Sports, Leumeah, Australia
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.