Oleh Al Shaiful Nazib Talib
KELANA JAYA: Dua aksi persahabatan Tier 1 telah diatur jurulaih Kim Pan Gon iaitu menentang Kemboja dan Maldives dilihat bersesuaian dengan persediaa yang dilakukan bagi menghadapi kempen Piala AFF Disember ini.
Keputusan dibuat Pan Gon selepas berbincang dan membuat penilaian secara dalam dari segala aspek sebelum menerima pelawanan Kemboja dan Maldives.
“Biarpun kedua-dua pasukan ini berada di kedudukan lebih rendah berbanding skuad Harimau Malaya di ranking 146 dunia, dengan Kemboja di ranking 177 dan Maldives di ranking 154, pemilihan ini adalah berpandukan susunan perjalanan pasukan di sepanjang kempen Piala AFF 2022 nanti.
“Kemboja merupakan salah satu pasukan dari Kumpulan A yang mana pemilihan pasukan ini sebagai lawan pada perlawanan pemanas badan dilihat bersesuaian dalam usaha kita untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat.
“Kita telah bermain perlawanan menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan kita kali ini.
“Bagi pertemuan dengan Maldives, lawan yang biarpun bukan dari Asia Tenggara tetapi merupakan juara dua kali Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018, selain memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.
“Selain itu, Maldives memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika FIFA Days pada September dan merupakan salah satu pasukan terbaru yang telah menentang Laos, pasukan yang akan kita hadapi pada kejohanan nanti.
“Sudah pasti kedua-dua perlawanan pemanas badan ini dilihat bersesuaian dengan persiapan skuad Harimau Malaya terutama menjelang dua perlawanan awal Piala AFF 2022 bertemu Myanmar dan Laos, sebelum menentang Vietnam dan Singapura,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan berdepan Kemboja pada Jumaat, 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Maldives pada Rabu, 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai perlawanan pemanas badan menjelang saingan Kumpulan B, Piala AFF 2022 bermula 21 Disember 2022.
Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar (ranking 158) pada Rabu, 21 Disember 2022 di tempat lawan, sebelum bertemu Laos (ranking 187) pada Sabtu, 24 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Pasukan seterusnya akan berdepan Vietnam (ranking 96) pada Selasa, 27 Disember 2022 di tempat lawan dan aksi terakhir kumpulan menentang Singapura (ranking 160) pada Selasa, 3 Januari 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.