comscore
Tumpuan :
Sukan

Kim Pan Gon akan kekal sehingga tahun depan – FAM

Kim Pan Gon.

KUALA LUMPUR: Di sebalik kekecewaan selepas skuad Harimau ‘tersungkur’ pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekali gus terlepas slot awal ke Piala Asia 2027, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak buah Pan Gon.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyifatkan pencapaian skuad negara yang berjaya meraih 10 mata pada kempen kelayakan kali ini membuktikan mereka mampu memberi saingan di peringkat Asia.

“Kita agak kecewa kerana tak dapat lepasi pusingan seterusnya tetapi ini menunjukkan pasukan kita sudah berada di peringkat Asia. Sebelum ini mungkin kita lihat kita di peringkat ASEAN sahaja.

“Dengan 10 mata yang kita dapat, itu satu keputusan yang agak baik cuma kita kurang bernasib baik kerana kita tidak dapat melangkah ke pusingan seterusnya.

“Kita menang semua perlawanan dengan pasukan di ranking bawah kita dan kita dapat seri menentang Kyrgyzstan, cuma agak malang kita tidak berjaya ke peringkat seterusnya,” kata Yusoff pada sidang media selepas mesyuarat EXCO FAM di Wisma FAM, hari ini.

Sebagai rekod, skuad negara menamatkan di tangga ketiga Kumpulan D walaupun meraih 10 mata di belakang Oman selaku juara (13 mata) dan Kyrgyzstan (11 mata).

Beberapa pasukan lain termasuk Indonesia yang meraih 10 mata, Korea Utara (9 mata), China (8), Palestin (8) dan Kuwait (7) berjaya mara selaku naib juara kumpulan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Yusoff turut mengesahkan tiada perbincangan dilakukan membabitkan kontrak Pan Gon memandangkan pengendali dari Korea Selatan itu ‘terikat’ bersama badan induk itu sehingga tahun depan.

Justeru, Yusoff memaklumkan Pan Gon akan meneruskan ‘kerjanya’ seperti biasa termasuklah aksi Piala AFF 2024 dan Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula, Mac depan.

“Setakat ini, tiada perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan dan kita akan ikut kontraknya yang ada sehingga tahun depan.

“Jadi, Pan Gon akan kekal sehingga tahun depan dan apa sahaja pertandingan sebelum kontraknya tamat akan diteruskan olehnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini