Tumpuan :
Sukan

KHM nafi Sarjit tiada KPI

Oleh: Hasnida Hanim Ahmad Kamil

KUALA LUMPUR: Dakwaan mengenai pengendali skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh, yang dikatakan tidak mempunyai petunjuk indeks utama (KPI) sejak dilantik pada bulan Mac lalu adalah tidak benar. Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menegaskan bahawa setiap jurulatih yang dilantik pasti mempunyai sasaran yang perlu dicapai.

“Sudah pasti mereka meletakkan KPI. Namun, Sarjit sendiri meminta sedikit masa selepas pelantikannya, dan kami memberinya ruang. Jadi, untuk mengatakan tiada KPI, itu tidak benar,” jelas Datuk Seri Subahan.

Beliau juga memaklumkan bahawa satu mesyuarat bersama Lembaga Eksekutif KHM akan diadakan pada 12 Oktober ini, diikuti dengan sidang media khas untuk menjelaskan secara terperinci mengenai KPI yang digalas oleh Sarjit Singh.

Untuk rekod, skuad hoki negara, yang dikenali sebagai Speedy Tigers, baru-baru ini menamatkan saingan di kedudukan tercorot pada Hoki Trofi Juara-Juara di China, sekaligus gagal mempertahankan gelaran naib juara yang diraih pada edisi sebelumnya.

 

Dalam perkembangan lain, impian skuad hoki dalam dewan negara untuk mempunyai tempat latihan sendiri bakal menjadi kenyataan. KHM telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi menggunakan Arena Axiata di Bukit Jalil sebagai lokasi latihan utama.

“Kami sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan PSM bagi menggunakan Arena Axiata sebagai lokasi latihan utama skuad hoki dalam dewan negara,” tambah beliau.

Venue latihan di Axiata Arena dijangka dapat digunakan pada penghujung tahun ini sebagai persediaan bagi skuad hoki dalam dewan lelaki negara yang muncul naib juara Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan, Mei lalu. Mereka juga akan membuat penampilan sulung pada saingan Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia, yang akan berlangsung dari 3 hingga 9 Februari tahun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini