comscore
Tumpuan :
Sukan

KFA pertimbang bantu KDA FC

ALOR SETAR: Kerajaan negeri melalui Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sedia mempertimbang kaedah untuk membantu pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang masih berdepan kemelut tunggakan gaji.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya akan meminta pengurusan KDA FC mengadakan pertemuan dengan KFA bagi membincangkan perkara itu.

“Kerajaan negeri kena salurkan (bantuan) menerusi KFA, KFA akan tolong, kita tak boleh buat secara langsung dengan syarikat swasta (yang uruskan KDA FC).

“Apa-apa yang boleh kita bantu, kita tengok nanti, minta mereka hubungi KFA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Tabung Wanita Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata beliau turut bersimpati dengan nasib pasukan dan pemain yang kini dilihat terumbang-ambing.

Katanya, sebagai Presiden KFA beliau bersedia untuk bertemu pemain pasukan berkenaan bagi mendengar masalah mereka secara berdepan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan dalam pengurusan KDA FC selepas pasukan berkenaan diubah status kepada pasukan kelab.

“Ia urusan syarikat swasta yang kendalikan KDA FC. Saya hanya boleh pertimbangkan untuk campur tangan atau tidak, setakat ini tiada pemain datang jumpa saya. Mereka hanya luah melalui media saja,” jelasnya.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau juga ada berjumpa dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar namun tidak memperincikan butiran berkenaan.

“Ada Tan Sri Daud hubungi dua tiga bulan lepas dan selalu juga jumpa. Tambahan pula kita masih ada komitmen lama yang ditanggung ketika terajui KFA sebelum ini, KFA masih tanggung bayaran ansuran hutang lama dengan badan berkanun.

“KFA masih bayar untuk lesen 2024 pun KFA ada bantu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini