Tumpuan :
Sukan

Keys juara Terbuka Australia

Foto: Reuters

MELBOURNE: Madison Keys merangkul gelaran Grand Slam sulungnya selepas menumbangkan pilihan utama, Aryna Sabalenka dalam aksi final Terbuka Australia, sebentar tadi.

Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 29 tahun itu menang dengan keputusan 6-3, 2-6, 7-5.

Dia muncul pemain keempat tertua yang pernah menjuarai Grand Slam kali pertama dalam era profesional selepas Flavia Pennetta, Ann Jones dan Francesca Schiavone.

Kemenangan manis yang dilakar Keys turut memusnahkan impian Sabalenka untuk merebut mahkota Terbuka Asutralia buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya pasti akan menangis. Tidak mungkin saya melalui ini dengan air mata… Tahniah Aryna, permainan yang sukar dipercayai, saya gembira akhirnya dapat kalahkan anda kembali.

“Saya mara ke separuh akhir Grand Slam pertama saya di Melbourne, dan kini memenangi final pertama saya di tempat yang sama, ia amat bermakna bagi saya,” katanya.

Keys kelihatan beremosi dan menitiskan air mata bersama pasukannya di tempat penonton, manakala Sabalenka menghempas raketnya dan menutup muka dengan tuala.

Sabalenka kemudian kembali dengan senyuman, namun tidak dapat mengelak daripada kekecewaan selepas mengalami kekalahan yang jarang berlaku dalam Grand Slam.

“Madison, kejohanan yang hebat. Anda bertarung dengan amat hebat untuk mendapatkan trofi ini… Tahniah kepada anda dan pasukan, anda sememangnya layak.

“Walaupun saya tidak mendapatnya tahun ini, saya akan kembali lebih kuat dan melakukan yang terbaik tahun depan,” ujar Sabalenka. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini