Tumpuan :
Sukan

Kesetiaan antara kriteria dicari BAM – Subramaniam

Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan kesetiaan sebagai antara kriteria untuk individu yang bakal memikul jawatan ‘panas’ ketua jurulatih badminton beregu lelaki negara yang baharu.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam berkata, badan induk itu ketika ini sedang melakukan proses penilaian bagi mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Tan Bin Shen pada 13 Januari ini.

Dan ketika ditanya mengenai calon yang disenaraikan, Subramaniam berkata selain berkualiti tinggi dan berdedikasi serta mampu meningkatkan kualiti barisan pemain negara ke peringkat lebih tinggi, perkataan setia turut keluar daripada mulutnya.

“Memang sudah ada perbincangan daripada dua pihak (calon jurulatih) mengenai perkara ini. Apa yang penting bagi kita adalah jurulatih yang setia, berdisiplin dan berdedikasi tinggi untuk membawa pemain badminton negara ke tahap lebih baik,” kata Subramaniam.

“Ketika ini kita sudah mempunyai nama untuk disenarai pendek tetapi kami mahu melakukannya dengan teliti bagi mendapatkan jurulatih yang paling sesuai untuk kita.”

Subramaniam dalam pada itu turut menolak yang Malaysia tidak lagi menjadi destinasi utama bagi jurulatih-jurulatih berkualiti termasuk tempatan.

“Perkara ini (jurulatih negara berpindah ke luar negara) tidak bermakna Malaysia bukan tempat yang menarik. Jika tidak, kenapa jurulatih asing datang ke sini? Kenapa mereka meninggalkan negara mereka? Semua orang mahu mencuba pengalaman baharu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini