KUALA LUMPUR: Keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil yang akan menjadi gelanggang final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu (TFC), Jumaat ini terus menjadi tanda tanya.
Ia susulan perkongsian terbaharu pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai keadaan terkini permukaan padang di gelanggang keramat Harimau Malaya itu di laman media sosial miliknya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail di laman Twitter miliknya, keadaan padang yang rosak selepas konsert Coldplay, bulan lalu tampak masih belum pulih sepenuhnya.
Keadaan itu menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat ketika ini apabila hanya berbaki empat hari sahaja lagi sebelum final Piala Malaysia berlangsung.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga seakan menyindir pengurusan Stadium Nasional apabila menganggap formula Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac menjadi.
“Standard yang baik untuk perlawanan akhir Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi Hans Isaac,” tulis TMJ.
BH Sukan sedang berusaha mendapatkan reaksi lanjut daripada PSM mengenai isu berkenaan.
Pada 24 November lalu, media melaporkan padang Stadium Nasional rosak angkara konsert Coldplay selepas TMJ memuat naik gambar keadaan permukaan padang stadium terbabit di laman Instagram miliknya.
Susulan daripada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi dilaporkan berkata, pihaknya akan melakukan kerja membaik pulih dengan kadar segera untuk digunakan bagi final Piala Malaysia.
Untuk rekod, padang baharu Stadium Nasional yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia adalah tajaan daripada TMJ dengan ia digunakan secara rasmi pada Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.