KUALA LUMPUR: Pembangunan sukan kebangsaan nyata turut menjadi keutamaan kerajaan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Menerusi sukan yang telah terbukti berjaya memupuk perpaduan dan membina masyarakat yang aktif serta sihat..
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan melaksanakan lebih banyak program sukan di peringkat komuniti.
“Sehubungan itu, peruntukan RM40 juta disediakan kepada persatuan sukan komuniti berdaftar bagi menganjurkan acara sukan,” katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, kata Perdana Menteri, pembangunan industri kreatif akan didukung sebagai industri strategik berimpak tinggi dan beberapa langkah bakal diambil termasuk memperkukuh tata kelola, membangunkan analitis data raya berpusat serta membangunkan bakat kreatif tempatan.
Tambah beliau, kerajaan juga menyediakan dana berjumlah RM346 juta dalam tempoh RMK12 terutama untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.
Usaha mempersiapkan pasukan atlet negara bagi mencapai Misi Emas (Road to Gold) pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028 juga akan diperhebat.