Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
BUKIT JALIL: Situasi cemas disaksikan pada saingan terjun Terbuka Malaysia hari ini membabitkan penerjun berpengalaman negara Ooi Tze Liang.
Penerjun berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala sekaligus tidak dapat menghabiskan pertandingan tiga meter (m) papan anjal.
Semasa melakukan terjunan kedua, kepalanya terhantuk bahagian hujung papan anjal selepas melakukan lompatan ke dalam kolam.
Pasukan perubatan kemudian bergegas memberikan bantuan dan melakukan pemeriksaan keatasnya sebaik berenang keluar dari kolam.
Kepalanya berdarah difahamkan akibat luka dibahagian dahi.
Tze Liang dilihat memberikan respon baik kepada petugas disekelilingnya sebelum kepalanya dibalut.
Pemenang pingat emas acara berkenaan di Sukan Komanwel 2014 serta perak dan gangsa di Sukan Asia 2014 dan 2022 itu terus dibawa ke hospital dengan ambulans untuk pemeriksaan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.