Tumpuan :
Sukan

Kenapa perlu nak dibangkitkan isu baju? – Jalani Sidek 

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek menyifatkan pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) sebagai bertuah!

Ini ekoran pemain itu diberi peluang untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) biarpun berstatus profesional.

Justeru, Jalani berkata Zii Jia dan pasukannya tidak seharusnya mencetuskan isu berhubung peraturan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika berlatih ABM.

Katanya, pemain ranking ke-13 dunia itu perlu bersyukur memandangkan kebenaran yang diberikan badan induk itu sebenarnya banyak mendatangkan manfaat kepada dirinya berbanding berlatih di luar.

“Kenapa perlu nak dibangkitkan isu baju bila BAM beri kebenaran kepada pemain profesional untuk berlatih di dalam sedangkan bakat dalam BAM itu boleh bantu dia berlatih. Dulu waktu jadi pemain profesional saya tidak dapat kelebihan macam ini.

“Saya setuju dengan pendapat (Datuk) Lee Chong Wei. Bila persatuan ada undang-undang dan peraturan mereka kena ikut dan akur.

“Bagi saya ia adil dan benda remeh seperti ini bagi saya tidak perlu diperbesarkan dan perlu sedar bahawa mereka orang luar dan bukan BAM lagi.

“Akibatnya ia tidak bagus untuk senario badminton negara. Kalau betul mereka nak berlatih di dalam kena berkorban dan bagi saya isu ini tidak patut berlaku,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan jurulatih Zii Jia, Tat Meng menerusi hantaran di Instagram miliknya mendakwa seperti dibuli ‘orang besar’ selepas BAM mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di ABM.

Katanya, dia terkejut dengan peraturan berkenaan apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung bermula hari ini hingga 27 Ogos.

Malah, Zii Jia turut meninggalkan komen di hantaran Tat Meng dengan menulis: Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ tak datang training pulak. Aishhhhh… susah nii nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening.

“Bagaimanapun, BAM menjelaskan peraturan yang ditetapkan itu sudah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu dan ia adalah satu obligasi kontrak untuk hanya menggunakan pakaian penaja di ABM.

Kontroversi yang ditimbulkan pasukan Zii Jia turut mendapat reaksi Chong Wei yang menyelar tindakan mereka yang didakwa sengaja mahu mencetuskan isu ketika pemain profesional lain tidak berdepan masalah.

Loading...
Terkini