KUALA LUMPUR: Nasib tidak menyebelahi The Pocketrocketman atau Datuk Azizulhasni Awang apabila disingkirkan pada pusingan kedua acara pecut individu Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland hari ini.
Jaguh berbasikal trek negara itu yang turun menentang pelumba Australia, Thomas Cornish melintasi garisan penamat terlebih dahulu pada perlumbaan di Velodrom Sir Chris Hoy.
Bagaimanapun, dia dilihat sedikit hilang keseimbangan selepas selekoh terakhir dan memasuki lorong Cornish di laluan lurus terakhir, hampir bersentuhan dengan pencabarnya itu.
Susulan itu, Azizulhasni disingkirkan dan Cornish sebaliknya diberi kemenangan.
Ia keputusan mengecewakan buat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu yang beraksi cemerlang ketika pusingan kelayakan apabila merakam masa keempat terpantas dengan catatan 9.584 saat.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom terlebih dahulu ditunjukkan jalan keluar daripada saingan apabila tewas di tangan pelumba Australia, Matthew Richardson seawal pusingan pertama.
Pada pusingan kelayakan, Shah Firdaus menghuni tangga ke-25 dengan catatan 9.9s.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Zonis pula terlepas kelompok 28 terbaik untuk beraksi di pusingan pertama selepas sekadar menghuni tangga ke-35 di pusingan kelayakan dengan catatan 10.225s.