BEIJING: Kemenangan pelari tuan rumah, He Jie yang dipercayai diberi laluan oleh tiga pelari Afrika akan disiasat penganjur separa maraton Beijing.
Rakaman perlumbaan Ahad lalu yang tular, menunjukkan pelari Kenya, Robert Keter dan Willy Mnangat, Dejene Hailu dari Habsyah, dan Jie sedang menuju ke garisan penamat.
Pelari-pelari Afrika itu dilihat menunjukkan ke arah garisan penamat dan memberi isyarat kepada Jie untuk berada di depan, sambil mereka memperlahankan larian.
Jie, pemenang pingat emas maraton Sukan Asia 2023, melintasi garisan penamat satu saat di depan pesaing dari Afrika itu.
Keempat-empat pelari berkenaan berada dalam satu kelompok sepanjang 21 kilometer perlumbaan.
“Kami sedang menyiasat dan akan mengumumkan keputusannya sebaik ia diperolehi,” kata jurucakap Biro Sukan Beijing.
Perlumbaan maraton semakin popular di China, tetapi ia dicemari beberapa insiden penipuan serta penganjuran tidak cekap.
Pada tahun 2018, dalam acara separa maraton di Shenzen, 258 pelari didapati menipu, termasuk mereka yang mengambil jalan pintas.
Kamera trafik mengesan mereka mengambil jalan pintas untuk menyertai kelompok hadapan.
Pada tahun berikutnya, seorang wanita didapati mengayuh basikal sewa dalam acara Maraton Antarabangsa Xuzhou. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.