Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
VIENTIANE: Cabaran pasukan bola sepak wanita negara di Piala AFF (Asean) berakhir di peringkat kumpulan sahaja berikutan skuad kendalian Soleen Al-Zoubi mengalami kekalahan kali kedua, kali ini kepada Kemboja.
Malaysia turun membawa misi mencari kemenangan di Padang Simpanan KM16, bagi mengiringi Indonesia ke separuh akhir.
Namun gandingan pemain berpengalaman dan muda itu dihampakan dengan ketumpulan penyudah yang menyebabkan mereka kecundang kepada lawan.
Kemboja mencetak dua gol masing-masing menerusi Poeurn Kunthea minit (m)-19 dan Chhit Sapheourn sejurus sebelum rehat.
Kekalahan 0-2 yang dialami menyebabkan Malayan Tigress kekal di tangga ketiga tanpa sebarang mata selain merelakan lawan meneruskan kemaraan selaku naib juara kumpulan.
Pencapaian terbaik Malaysia di pentas Asean ialah melangkah ke separuh akhir pada edisi 2007 sebelum mengakhiri kempen di tempat keempat daripada lapan negara mengambil bahagian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.