comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2022: Kem skuasy negara janjikan 3 emas esok

HANGZHOU: Kem skuasy negara berpeluang cerah untuk meraih tiga pingat emas esok, selepas mara ke final dalam tiga kategori di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.

Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman berpeluang mencipta sejarah sebagai juara beregu campuran pertama dalam Sukan Asia, selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Abhay Singh-Anahat Singh dari India 8-11, 11-2, 11-9.

Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa menghadapi ujian getir di final bertemu satu lagi beregu India yang merupakan pilihan utama kejohanan, Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu yang menyingkirkan wakil Hong Kong Wong Chi Him-Lee Ka Yi 7-11 11-7 11-9.

“Kami perlu taktik permainan yang berkesan esok dan bersedia untuk meraih emas bersejarah. Saya bersedia untuk memberikan tentangan hebat dan memberikan aksi terbaik kami, kata Aifa yang memburu emas kedua selepas memenangi emas menerusi acara berpasukan wanita Sabtu lepas.

Acara beregu campuran dipertandingkan buat julung kalinya di Sukan Asia.

Dalam perseorangan wanita, pemenang pingat perak  S. Sivasangari mengejutkan pemain pilihan utama  Satomi Watanabe dari Jepun 11-8, 11-8, 11-4.

Sivasangari yang memperoleh perak dalam edisi 2018 selepas tewas kepada Datuk Nicol David di final, akan dicabar oleh wakil Hong Kong Chan Sin Yuk yang menyingkirkan Ho Tze Lok juga dari Hong Kong 11-4, 11-5, 11-8.

“Saya berhadapan dengan Satomi sejak saya berusia sembilan tahun, kami membesar bersama-sama dalam semua kejohanan dan beliau  rakan baik saya. Kami mengetahui taktik permainan satu sama lain dengan baik, saya takut apa yang dibawanya hari ini tetapi saya berjaya dan menang.

“Satu lagi pertarungan esok tetapi saya yakin untuk melakukannya buat diri saya sendiri, keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Saya hanya mahu tumpukan kepada diri saya, permainan saya dan menghasilkan satu taktik permainan malam ini,” kata Sivasangari.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki Ng Eain Yow yang merupakan pilihan utama kejohanan tidak diberikan laluan mudah oleh wakil Qatar  Abdulla Al-Tamimi, sebelum memenanginya dengan 10-12, 11-7, 11-9, 11-5.

Pada final, beliau akan bertemu pemenang perlawanan antara Henry Leung Chi Hin dari Hong Kong dan pemain India Saurav Ghosal. — BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini