BACHOK: Usahawan Kelantan, Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan yang dilaporkan mahu mengambil alih Kelantan FC sedia menunjukkan bukti dana sebagaimana disyaratkan pemilik pasukan itu, Norizam Tukiman atau Zamsaham.
Artikel berkaitan : Usahawan tempatan serius mahu ambil alih Kelantan FC
Erfan, 30an berkata, dia hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Zamsaham bagi mengadakan perbincangan lanjut.
Artikel berkaitan : Zamsaham jual Kelantan jika Erfan serius tawar RM10 juta
“Saya boleh tunjuk status kewangan kepada Zamsaham dan tegaskan mampu daripada segi kewangan,” katanya ketika ditemui di kedai emas miliknya di Jelawat, di sini.
Erfan berkata, dia sudah menerima panggilan daripada Zamsaham dan akan membuat pertemuan dua minggu dari sekarang.
“Saya tengok daripada kebaikan untuk Kelantan, kalau perlu saya ambil terus, saya ambil terus atau jadi rakan strategik bergantung pada perbincangan,” katanya.
Jelasnya, niat untuk mengambil alih The Red Warriors (TRW) turut mendapat sokongan pasukannya bukan kerana ‘syok sendiri’.
“Saya ada pasukan di belakang saya, ketika jadi penaja pun saya lebih suka berada belakang tabir, soal menyorok identiti adalah ‘trademark’, saya tidak ada kepentingan lain untuk rahsiakan diri saya, memang dari dulu saya selesa begini,” katanya.
Erfan juga menjelaskan dia mahu bersama menyelamatkan TRW, malah tidak pernah meninggalkan pasukan dan tidak akan menarik diri walaupun terpaksa bersaing dengan usahawan Kosmetik, Datuk Seri Vida yang turut mahukan Kelantan FC.
“Kalau saya ada niat jahat, tak mampu nak beli pasukan, awal lagi saya tak hantar surat tawaran kepada Zamsaham, tapi sehingga kini, saya masih nak miliki Kelantan FC dan sedia berunding asalkan beri situasi menang-menang untuk kami,” katanya.
Erfan sebelum ini dilapor menyatakan kesediaan membeli TRW meskipun harganya RM10 juta walaupun pemerhati bola sepak menganggarkan pasukan itu kini hanya bernilai RM1 juta hingga RM3 juta berikutan tiada aset dan prestasi pasukan merudum.