KOTA BHARU: Usahawan Kelantan, Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan mengesahkan sudah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham di satu lokasi rahsia.
Erfan yang berusia 30-an bagaimanapun berkata, inti pati perjanjian, masa dan tarikh perjanjian ditandatangani tidak boleh didedahkan.
“Ramai yang ingin tahu perkembangan saya yang ingin menjadi pemilik The Red Warriors (TRW) atau membeli saham atau menjadi rakan strategik.
“Jadi di sini saya boleh beritahu, saya sudah tandatangan NDA, apa-apa keputusan insya-Allah akan dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Erfan berkata, buat masa ini beliau tidak boleh mendedahkan maklumat lain yang masih dalam perbincangan pihaknya dan Kelantan FC.
Erfan sebelum ini antara individu yang menawarkan diri untuk mengambil alih TRW selepas Zamsaham mengumumkan untuk menjual kelab berkenaan.
Perkara itu dinyatakan ahli perniagaan itu dalam surat menerusi salah satu perniagaannya, Erfan Gym & Fitness.
Turut berminat untuk mengambil alih TRW ialah usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida.