comscore
Tumpuan :
Sukan

Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh FIB

LOGO KELANTAN FC

PETALING JAYA: Badan bebas, “First Instance Body” (FIB) mengenakan hukuman sekatan perpindahan pemain terhadap Kelantan FC pada jendela kedua yang akan dibuka pada 5 Julai ini.

Hukuman itu dijatuhkan susulan kegagalan Kelantan FC menghantar bukti bayaran caruman KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai pada April dan Mei lalu sebelum tarikh akhir yang ditetapkan untuk pasukan itu pada 28 Jun dan 30 Jun 2023.

Ini adalah hukuman berasingan daripada sebarang tindakan yang boleh diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan aduan kes-kes lain.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, Jawatankuasa FIB memandang serius isu berkenaan dan tindakan terpaksa diambil selepas Kelantan FC gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh ditetapkan.

“Pihak FIB masih tidak menerima sebarang bukti bayaran ansuran KWSP (bayaran ansuran pertama) dan bukti bayaran gaji penuh pemain serta pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan kepada Kelantan FC.

“Oleh kerana kegagalan Kelantan FC memberikan bukti bayaran tersebut, maka dengan ini hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua dijatuhkan dengan serta merta,” katanya.

Hukuman sekatan perpindahan pemain ini akan ditarik semula sekiranya Kelantan FC menyelesaikan bayaran tunggakan caruman KWSP, gaji pemain dan pegawai sebelum jendela kedua berakhir pada 1 Ogos 2023.

Bagaimanapun tindakan untuk menarik semula sekatan itu juga perlu mengambil kira keputusan FAM dan FIFA berkenaan kes lain melibatkan Kelantan FC.

Loading...
Terkini