Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Kelantan FC bakal terima hukuman lebih berat

 

KUALA LUMPUR: Kelantan FC tampaknya bakal berdepan satu lagi kes dan kelab itu dijangka berdepan hukuman lebih berat selepas ini.

Ia susulan pengesahan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali yang mengakui pihaknya sudah menerima satu aduan rasmi daripada pemain Kelantan FC.

Katanya, aduan itu baru diterima oleh pihaknya dan beliau berharap lebih ramai lagi pemain skuad The Red Warriors dapat tampil ke depan dengan membuat laporan rasmi.

“Memang ada laporan pasal kes Kelantan baru masuk. Harap pemain lain berani ke depan buat laporan supaya boleh buat perbincangan selanjutnya,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro, pemain Kelantan didakwa hidup dalam tekanan apabila dihimpit dengan komitmen bulanan ekoran kegagalan mendapatkan gaji penuh setiap bulan.

Farhan Abu Bakar berkongsi kisah sedih apabila gaji tertunggaknya tidak dibayar penuh. – FOTO: Ihsan TWR

Situasi itu nyata menekan pemain-pemain TRW pada setiap hujung bulan yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup, malah ada di antara mereka kehilangan kereta selepas ditarik oleh pihak bank.

Arena Metro berjaya mendapatkan penjaga gol Kelantan FC, Farhan Abu Bakar yang berkongsi kisah sedih apabila gaji tertunggaknya tidak dibayar penuh, sebaliknya dia diminta oleh pihak pengurusan untuk memohon duit pendahuluan “advance”.

Jelas Farhan, tindakan untuk memohon wang pendahuluan itu agak pelik kerana pasukan itu berhutang dengannya apabila ada tunggakan gaji yang belum dijelaskan.

Ujar Safee, aduan rasmi daripada pemain TRW adalah penting untuk pihaknya untuk membantu pemain profesional tempatan.

“Bukan kita mahu cari kesalahan tetapi kita cuba selesaikan dengan cara baik untuk kebaikan kedua-dua belah pihak sama ada pengurusan dan juga pemain, di mana kita nak capai kata sepakat dan kata setuju antara dua dua belah pihak.

“Sekarang ini kes tak boleh dedahkan secara terperinci, tetapi kita akan mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini Kelantan FC sudah diheret ke Fifa selepas ejen terkenal Asia, Myeongho Jeong membuat aduan rasmi berhubung penganiayaan pengurusan TRW ke atas bekas jurulatih pasukan itu ke atas pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon Sik, pada April lalu.

Selain itu difahamkan, Kelantan FC juga berdepan hukuman denda selepas skuad Piala Presiden pasukan itu gagal hadir ketika aksi berdepan Perak minggu lalu.

Loading...
Terkini